Tun M harap isu penempatan haram Bukit Malut diberi perhatian






Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap isu penempatan haram Bukit Malut di Langkawi, Kedah, yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Katanya, kerajaan sebelum ini bawah Pakatan Harapan (PH) sudah ada perancangan khusus untuk membangunkan semula kawasan itu tetapi tidak sempat melaksanakannya berikutan hilang kuasa pada Februari lalu.



Bagaimanapun, beliau mengaku tidak tahu sama ada kerajaan kini akan meneruskan perancangan itu atau sebaliknya.
"Kita ada rancangan nak bangun semula tapi sekarang kita sudah tak berkuasa lagi.
"Terpulang pada kerajaan yang ada sekarang, sama ada mereka nak teruskan dengan projek yang kita telah rancang ataupun mereka nak buat (perancangan) lain.
"Tapi, memang keadaan ini akan berkembang kerana penduduknya bertambah. Saya harap kerajaan akan beri perhatian pada kedudukan mereka ini," katanya melalui rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook dan Twitter beliau, hari ini.
Dr Mahathir turut memuat naik video berdurasi kira-kira dua minit yang memaparkan beliau melakukan tinjauan di kawasan penempatan haram Bukit Malut itu, serta mengambil beberapa gambar keadaan perumahan di situ.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan, kawasan berkenaan asalnya diduduki rakyat Myanmar yang datang dan membina keluarga di situ, termasuk ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan.
Melalui tinjauan itu, beliau mengakui keadaan penempatan haram di situ kurang memuaskan, antaranya kerana dibina dalam kawasan laut yang menyebabkan air laut naik hingga ke bawah rumah apabila air pasang, selain masih ada rumah baharu yang dibina.
"Sekarang, anak mereka sudah berkahwin, termasuk dengan orang di sini. Jadi dah bercampur-campur antara orang tempatan dengan orang asal daripada Burma (Myanmar)," katanya.
BH hari ini melaporkan kawasan penempatan haram Bukit Malut semakin membesar apabila lebih banyak rumah dibina dan tapak baharu diteroka tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Jika sebelum ini, kebanyakan rumah penduduk dilihat dibina di kawasan rizab hutan paya bakau, tetapi kini mereka semakin berani apabila menarah kawasan lereng bukit sehingga menghampiri jalan utama.
Kegiatan meratakan hutan lereng bukit itu didakwa dilakukan pihak tertentu untuk menjualnya kepada warga asing yang berminat membina rumah baharu yang turut dilengkapi bekalan air dan elektrik.
Tinjauan BH di penempatan yang terletak kurang 20 kilometer dari pekan Kuah itu, mendapati wujud pertambahan bilangan rumah yang dibina secara haram di tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) itu.
Dianggarkan ketika ini, ada kira-kira 1,000 rumah dibina di kawasan merangkumi hutan paya, pesisir laut dan lereng bukit dengan jumlah penduduk dikatakan sudah melebihi 10,000 orang ketika ini, berbanding hanya kira-kira 800 rumah tahun lalu.
Lebih mengejutkan apabila tinjauan turut mendapati terdapat dua bangunan komersial dipercayai rumah kedai tiga tingkat sedang dibina di jalan masuk utama ke Bukit Malut.
Pada Jun tahun lalu, BH mendedahkan, Bukit Malut dianggap sebagai kawasan paling hitam di Langkawi berikutan berlaku banyak kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan berikutan kehadiran warga asing tidak terkawal.
Berikutan itu, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, mengumumkan bahawa kerajaan akan menyusun dan membina semula kawasan setinggan terbabit, namun hingga kini tiada sebarang tindakan ke arah berkenaan diambil.


(Gambar fail) Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR